' Meriahnya di rumah malam ini.', getus hati Saiful. Hari Sabtu. Memang Saiful adik beradik akan berkumpul di rumah Ibu. Gelagat anak sedaranya yang pelbagai, menyerikan lagi suasana.
" Nenek, bila Pak Njang nak kahwin nek? Tinggal Pak Njang seorang sahaja lagi," tanya Anis, anak abang Saiful yang bakal mengambil exam SPM tahun ini.
" Entahlah. Ekau tanyo lah dia. Nenek pun dah ponat ni hah. Tunggu dah lamo, tapi tak cakap2, " , balas nenek.
Tergelak semua penghuni di rumah Nek Sabe malam tu. Hanya anak-anak kecil masih leka bermain kejar-kejar di ruang tamu rumah. Adik beradik Saiful semuanya telah mendirikan rumah tangga. Adik bongsunya sudah 7 tahun mendirikan rumah tangga. Hanya Saiful yang masih bujang. Bukan tiada yang mahu, namun dia lebih memilih untuk berbakti kepada arwah bapanya yang sakit 5 tahun dulu. Bulan rejab tahun ini, ayahnya telah pun pergi menghadap Illahi. Sudah 4 bulan ayahnya meninggal dunia.
Dia banyak meluangkan masa untuk menjaga ayahnya. Mungkin kerana hanya dia belum ber'keluarga' , maka dia lebih banyak tanggungjawab dan masa buat ayahnya dulu. Teringat Saiful tatkala menguruskan ayahnya yang sakit dulu.
" Epul, bila nak kahwinnya? Mana satu yang menjadi pilihan?", tanya Salahuddin. Mencuri fikiran Saiful yang jauh mengelamun.
" Entahlah. InsyaALLAH. Ibu nak mana satu? Hafizah ke Nurul? ", Saiful bertanya pada ibunya. Redha dan pilihan ibunya lah yang akan diikut.
" Eh, Kau yang nak kahwin. Ibu tak kesah mana-mana pilihan kau epul. Janji kau kahwin." Jawab Nek Sabe.
" Yelah, ibu berkenan yang mana? Kalau Hafizah tu anak yatim piatu, tak ada mak ayah. Nurul pula ada mak ayah. Cuma mungkin maharnya mahal sikit memandangkan dia anak bongsu. Ibu nak yang mana? " tanya Saiful lagi.
Sebenarnya dia tak kisah siapa yang menjadi pilihan ibunya. Diikutkan hati, dia memilih Nurul. Namun, dia memikirkan ibunya. Ibunya kini tinggal seorang memandangkan Pak Wan, ayahnya, telah meninggal dunia. Dia fikir, mungkin Hafizah adalah calon paling layak.
" Ibu ikut je yang mana kau berkenan. Bukan ibu yang nak kahwin, kau yang nak kahwin. Mana-mana pun boleh Epul. " Balas Nek Sabe.
Saiful diam sahaja. Dia memikirkan dari segala aspek. Dia lebih kasihan melihat ibunya nanti. Sekurang-kurangnya, Hafizah mungkin dapat menjaga ibunya dikala dia sibuk. Hafizah mungkin dapat menyayangi ibunya memandangkan Hafizah anak yatim piatu. Sudah tentu dia merindui kasih sayang seorang ibu. Saiful benar-benar buntu. Siapa yang harus dipilihnya untuk dijadikan teman hidup? ' Allah..' bisik hati Saiful.
Nek Sabe membiarkan sahaja Saiful tenggelam dalam dunianya. ' Nak, ibu hanya mendoakan kebahagiaan mu. Ibu berharap sangat dapat melihat kau berkahwin sebelum ibu pergi menghadap-Nya, 'rintih hati kecil Nek Sabe.
*****
' Ya Allah, bantulah hamba-MU ini. Ku mohon petunjuk dari-Mu dalam memilih pasangan hidup ku. ', mohon Saiful dalam hatinya.
Sudah 37 tahun dia membujang, meniti hidup tanpa seoarang teman disisi. Bukan dia yang terlalu memilih, atau tiada yang mahu, cuma dia terlalu banyak komitmen dan tanggungjawab sehingga tiada ruang untuk mengurus dirinya dahulu.
Namun yang pasti, jiwanya tidak sesekali akan dibiar kosong sepertimana sepinya diri kerana tiada teman untuk melayari bahtera suci. Dia sentiasa menghadiri kuliah maghrib di Masjid As-Salam yang terletak 500m dari rumahnya. Apatah lagi apabila kuliah dari Ustaz Abdullah, benar-benar menyentuh hatinya. Hidupnya juga bertambah indah tatkala dia mengikuti usrah yang akan diadakan setiap bulan oleh naqibnya, Abang Sham. Usrah lah yang banyak mengisi hari-harinya agar segar menjadi hamba yang taqarub pada Rabb. Kadang-kadang, dia juga akan turun berprogram untuk anak-anak muda di tempatnya. Begitulah rutin hariannya. Jiwanya sentiasa diisi dengan keindahan taman-taman syurga agar dia terus utuh mencari mardhatillah. Indahnya bila hidup terisi dengan segala perbuatan yang menjadi ibadah buat Rabb yang Maha Agung.
" Saiful, kau buat apa ni? Jauh mengelamun. Ada masalah ke? " tanya Ahmad yang sekaligus mematikan lamunan Saiful. Nasi Ayam di hadapan sahabatnya itu tidak terusik dari tadi. Lama juga Ahmad memerhati gelagat sahabatnya itu. Seperti memikirkan sesuatu yang sangat berat sahaja di kepalanya.
" Tak adalah. Saja aku muhasabah diri, " jawab Saiful. Malu juga melihatkan dirinya yang belum menjamah rezeki Allah di hadapannya itu, sedangkan sahabat didepannya sudah separuh menghabiskan Nasi Goreng Ayam yang ditempah tadi.
" Kot ye pun jatuh cinta teringat orang jauh, jamah lah juga Nasi Ayam tu. Kasihan aku tengok nasi tu merenung kau dari tadi. Agaknya nasi tu pun fikir ' bila lah manusia ni nak makan aku', " seloroh Ahmad bersahaja.
" Yelah Tuan Haji, saya makan sekarang, " balas Saiful sambil mula menjamah Nasi Ayam didepannya itu.
" Macam tu lah Encik Saiful. Kau ni kenapa? Macam ada masalah besar je aku tengok, "
" Tak ada apa-apa. Saja aku terfikir diri aku ni je, " selindung Saiful.
" Ikut kau lah. Kalau ada apa-apa masalah, beritahulah. InsyaALLAH, aku akan tolong selagi mampu ", Ahmad membalas. Dia memahami Saiful. Saiful pasti akan berkongsi pabila dia bersedia. Saiful hanya tersenyum pada sahabatnya itu.
' Terima kasih Ahmad. Kau banyak membantu aku. Kau memang sahabat yang baik. Semoga Allah memberi ganjaran yang banyak buatmu, ' doa Saiful di hati. Bukan dia tidak mahu menceritakan dilemanya itu, cuma mungkin ini bukan waktu yang sesuai. Dia memerlukan masa untuk memikirkan hal itu.
( bersambung...)


No comments:
Post a Comment